MINGGUAN: Apa khabar Tok Guru, nampak ceria.
NIK AZIZ: Ceria sebab ada tetamu. Saya sebenarnya letih. Sekarang mudah letih. Kalau berbual pun letih, tak boleh lama.
Bagaimana keadaan kesihatan Tok Guru secara keseluruhan?
NIK AZIZ: Alhamdulillah. Untuk jantung, baterinya doktor kata buat masa ini, tidak perlu tukar lagi kerana masih molek. Bateri ini kurang bekerja kerana tidak begitu diperlukan memandangkan jantung saya masih gagah. Masalah saya sekarang ini adalah prostat. Masalah prostat ini menyebabkan saya kena bawa beg (untuk menyalurkan air kencing) pergi ke mana-mana. Pada mulanya, doktor mahu memberi beg yang tak perlu bawa ke sana ke sini tetapi saya tidak mahu terima. Payah kalau hendak bergerak. Cuma beg ini saya perlu tukar, caranya sama ada saya pergi ke hospital buat pemeriksaan atau pihak hospital sendiri bawa ke mari seminggu sekali. Kalau hendak sembahyang, susah sikit tetapi tak perlu tukar cuma kena cuci dulu. Tidaklah sampai perlu cuci lima kali sehari. Saya cuci bila perlu, sekurang-sekurangnya sekali sehari. Alhamdulillah, tidak menganggu saya beribadat.
Bagaimana pula dari segi pengambilan makanan?
NIK AZIZ: Petua saya, ikut kata doktor. Dia kata minuman paling baik ialah air kosong, bukan campur macam-macam. Memandangkan saya ada masalah prostat, saya usaha sungguh-sungguh minum sebanyak mungkin air kosong. Tapi kadang-kadang, saya curi-curi minum teh dan kopi. Sebab ada masalah jantung, saya tak boleh makan daging, lemak dan santan. Saya cuma curi-curi makan kuah. Lauk saya biasanya sayur dan ikan bakar sahaja. Sekarang ini, saya hendak sangat makan ubi kayu, saya minta orang rumah tolong cari ubi kayu. Apa boleh buat, mengidam.
Boleh kongsi serba sedikit kehidupan Tok Guru selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar?
NIK AZIZ: Tenang sahaja macam biasa. Tidak sibuk, namun kerajaan negeri beri satu institusi untuk saya urus yang dipanggil Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim, Kota Bharu. Saya ke sana setiap hari. Tetapi kalau kesihatan tidak mengizinkan, saya pergi dua atau tiga hari sekali. Kalau ada temu bual dengan wartawan pun saya akan pergi ke sana.
Bagaimana Tok Guru mengisi masa lapang jika tidak sibuk dengan tugas hakiki?
NIK AZIZ: Saya membaca. Buku saya banyak. Malah, rakan-rakan yang duduk luar negara pun turut kirim macam-macam buku. Masa saya di luar negara, contohnya Kaherah, saya tengok rakyat di sana gemar membaca. Dalam masjid pun orang bawa akhbar. Berbeza dengan orang Melayu, pemalas. Kesedaran untuk membaca tiada. Kita tidak dididik untuk membaca. Anak-anak kecil contohnya, sibuk dengan Internet. Tak pasti salah siapa, ibu bapa atau kementerian, wallahuallam.
Waktu saya mula-mula balik ke Tanah Melayu dulu, kad pengenalan saya hilang di India, jadi saya pergi buat yang baharu, ketika itu di Pejabat Tanah.
Sementara menunggu, saya membaca. Datang seorang rakan, tegur dan kata membaca buat apa? Patut dia bagi semangat, tapi dia perlekeh pula. Masya-Allah, berbeza benar pemikiran kita dengan orang luar. Wartawan sekarang ini, saya fikir perlu buat artikel-artikel yang boleh menimbulkan semangat untuk orang ramai membaca, tidak kiralah macam mana, Internet, Twitter atau Facebook.
Saya juga mengikuti perkembangan semasa menerusi surat khabar, Internet dan lain-lain. Kalau Internet, selalunya anak cuculah. Tak boleh banyak sangat tengok Internet, jadi khayal sampai habis masa saya. Terbongkok-bongkok duduk tengok Internet, bahaya.
Jadi, sekarang Tok Guru ada banyak masa bersama keluarga dan bermain dengan cucu dan cicit?
NIK AZIZ: Cucu ada 60 orang nak main macam mana. Sebenarnya setiap Sabtu malam Ahad, selepas Isyak, saya kerah semua anak cucu datang makan malam. Ini usaha saya untuk mengeratkan hubungan sesama mereka, terutama yang cucu-cucu ini. Dia hendak bertumbuk atau bergomol, itu dia punya pasal tetapi seronok juga sebab rumah jadi riuh.
Setiap dua atau tiga tahun, kami berkumpul ramai-ramai. Macam bulan lepas, kami berkumpul di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Masa itu, ada lebih kurang 500 ahli keluarga sebelah arwah ayah saya dari seluruh negara datang.
Apa pendapat Tok Guru tentang kerajaan negeri sekarang yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob? Ramai yang kurang yakin dengan kebolehannya untuk mentadbir?
NIK AZIZ: Saya minta semua orang Pas sokong beliau kerana beliau jadi timbalan saya sudah bertahun-tahun, semua masalah atau urusan saya khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dia yang jawab. Beliau merupakan anak murid saya yang sejati. Segala gerak-geri saya sudah disalin kepada dia. Maka dia tahu apa yang dia buat.
Dari segi dasar atau polisi mana boleh sama, kita kena ikut perkembangan semasa. Dia cara dia, saya cara saya, namun saya beri sokongan sepenuhnya kepada beliau.
Orang kata Menteri Besar sekarang pendiam dan kurang mesra, tak macam Tok Guru?
NIK AZIZ: Itu dia punya pasal. Tidak ada orang yang serupa di atas dunia ini, muka tak serupa, anak saya 10 orang, cucu 60 orang mana ada serupa. DNA, cap jari mana ada serupa, Tidak ada yang serupa, malah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain pun tak serupa. Namun kalau ada yang kurang, saya tetap tegur. Tetapi saya tegur secara berdepan dan seorang diri, bukan ketika bercampur (ramai), kalau tegur masa bercampur ini, orang kata boleh melukakan hati. Jadi, mesti sama-sama seorang (secara empat mata).
Boleh komen sikit mengenai isu kalimah Allah yang masih diperkatakan serta kejadian rampasan Bible di Selangor?
NIK AZIZ: Tidak usah sebut isu kalimah Allah, perkara ini sudah lama kita putuskan, awak rujuk balik Pas Pusat kerana saya beri sokongan penuh apa sahaja keputusan mereka. Kejadian di Selangor (Jabatan Agama Islam Selangor rampas Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah), itu urusan dia. Urusan negeri, orang kita tidak boleh campur. Macam urusan Kelantan, negeri lain nak campur, itu tak betul.
Akhir sekali, apa pesanan Tok Guru untuk renungan kita bersama?
NIK AZIZ: Saya pegang Kelantan selama 23 tahun, salah satu perkara yang saya ajar kepada rakyat ialah duduk atas dunia ini, kita cari duit biar banyak tetapi bukan setakat dunia sahaja. Di akhirat pun kena jaga. Sembahyang biar banyak, derma biar banyak, ceramah biar banyak, kuliah biar banyak. Biar semua seimbang dunia akhirat.
Saya nak beritahu kamu, wartawan sama macam tok guru. Kalau tok guru mengajar di masjid, wartawan pun sebenarnya mengajar manusia. Jadi, nak ajar macam mana? Ajarlah seperti yang Allah perintahkan, bukan ajar sebagaimana yang sesetengah manusia inginkan sebab nanti di akhirat kosong. Kita sama-sama pimpin manusia ke jalan yang betul. Supaya manusia ini ke syurga, tidak ke neraka.
Tok guru, wartawan, ibu bapa, penulis dan semua pihak perlu bekerja semua sekali supaya dapat bentuk ekonomi begini, sosial begini, pelajaran begini. Saya sudah berapa kali sebut, Pas memerintah negeri ini bukan dengan cara meniru orang putih, tetapi tiru Islam. Nabi Muhammad SAW jadi Perdana Menteri 10 tahun di Madinah. Jadi Imam ketika sembahyang, baginda jadi panglima perang, baginda jadi menteri kewangan, baginda jadi menteri sosial, baginda jadi menteri dalam negeri, baginda jadi menteri luar negeri. Masyarakat dunia ketika itu terima baginda. Kita Melayu kurang bijaklah kalau memperlekehkan baginda.
Nama baginda kita sebut, tapi ajaran baginda kita perlekeh. Kita tolak Islam dan ambil kebangsaan. Bukan di sini sahaja duduk berbalah, di Arab pun berbalah juga tentang perkara ini.
Bagaimana Tok Guru melihat hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat pada masa ini?
NIK AZIZ: Negara kita ini mengamalkan demokrasi, jadi tidak ada sebab hubungan Pusat dengan negeri renggang. Yang peliknya, 23 tahun saya jadi Menteri Besar, saya tak pernah dapat bercakap dalam radio atau televisyen. Rakyat kita makin cerdik, ramai yang keluar universiti tiap-tiap tahun dan adakalanya, orang itu faham apa yang berlaku. Mana boleh sebuah kerajaan negeri tidak boleh bercakap menerusi radio atau televisyen dengan rakyat sendiri. Perangai Kerajaan Pusat ini, dia nak suruh orang ikut dia sahaja, jangan dengar apa kata pembangkang sedangkan mana boleh manusia hidup tanpa membangkang. Kita dua beradik pun berbalah, suami isteri pun berbalah, sahabat handai pun berbalah, begitu juga rakyat dengan kerajaan.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140112/re_05/Bersama-beg-plastik-60-cucu
sanah helwah tok guru! ulama' yang saya kagumi.
thnx post dis. i tak pernah tgk utusan post pasal tuan guru nik aziz. maksud i post yang baik pasal tuan guru, biasanya duk kutuk je. rasa cam nak puji utusan mlm ni
ReplyDelete