-KONFLIK REHEARSAL-
Sebelum makan malam, sesi rehearsal bersama combo DBKL hampir dibatalkan kerana kesuntukan masa. Mereka dahulukan latihan seorang anak India, Jamal dan Jaclin Victor sampai lancar. Dengan tegas kami katakan kami dipanggil untuk rehersal dan tidak diberi peluang langsung. Kami akan tinggalkan majlis kerana tidak mahu mengorbankan maruah anak-anak kami untuk membuat persembahan tanpa latihan. Akhirnya anak-anak diberi peluang untuk mencuba.
Alhamdulillah latihan agak lancar biarpun Cuma sekali. Padahal anak-anak ramai yang DEMAM dan KEPENATAN, terutama sekali anak perempuan kami yang tidak boleh selamba-selamba baring di atas karpet dan secara tak langsung membenarkan orang yang lalu lalang memerhatikan tubuh mereka yang sedang tidur itu. Mereka sudah diajar tentang aurat itu bukan sekadar BALUT tetapi menutupi dan juga postur yang nampak dan menggamit aura.
Apapun, prinsip kami adalah untuk melakukan apa sahaja dengan bersungguh sungguh. Memang kami didik anak anak kami untuk mendaulatkan Raja. Atas alasan itu juga kami teruskan persembahan dengan bersungguh sungguh walaupun tidak dilayan seperti yang dijanjikan sejak menjejak kaki di hotel pagi itu. Jika ini jemputan komersial biasa, pasti kami sudah tinggalkan sahaja majlis itu.
-MALAM MAJLIS-
Kami jenuh menenangkan anak-anak kami yang terkurung awal dalam dewan, asyik bertanya kenapa maghrib itu tidak solat berjemaah macam biasa? Mereka juga pelik kerana dikatakan VVIP majlis, tapi diletakkan di tepi dinding HUJUNG dewan. Ada 5 meja untuk anak-anak yatim termasuk dari 2 sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur berada dalam barisan “VVIP” kami di sebelah dapur. Hiasan bunga di atas meja juga tidak sama. Menu makanan yang sepatutnya menu masakan Cina pada malam itu tetapi yang sampai ke meja anak-anak “VVIP” majlis hanyalah “makanan gorengan mudah” dan tidak ditambah apabila habis.
Mujur kami didik anak kami untuk tidak gelojoh dalam menjamah. Seorang sudah terbiasa ambil satu dan tidak lebih. Tetapi kami sempat jeling meja anak-anak tahfiz dan yatim yang lain di sebelah kami yang licin tak berbaki. Ada anak tahfiz yang baru 9 tahun umurnya mengatakan masih lapar. Sebak kami mendengarnya kerana mereka juga senasib dengan kami dan kami juga rasa ia tidak mengenyangkan anak-anak kami. Malang bagi mereka kerana murobbi mereka tidak ada bersama untuk membela.
Majlis yang dihadiri seorang Ketua Agama Negara itu menyaksikan seolah-olah satu pertunjukan fesyen pula. Anak-anak kami yang diletak di belakang asyik bertanya..>
“Ayah, ayah… boleh ke makcik tu pakai tudung baju ketat begitu? pakai tudung tapi dada terbelah begitu? Boleh ke pakai sopan tapi kain terbelah sehingga ke pangkal paha? Kenapa pakaian Makcik itu terbelah di belakang?”… Kenapa tinggalkan solat?
Dan macam-macam lagi soalan yang terpaksa kami jawab kepada anak-anak kami. Baik juga kerana boleh kami tunjukkan mana baik dan mana yang buruk. Pada kami, ia seperti satu penghinaan kepada seorang ketua Agama Negara Islam yang berdaulat dengan tetamu majlis berpakaian secara jahilliyah.
Duduk sahaja Sultan dan Sultanah, seorang MC wanita membuka tirai program dengan mempersilakan sebuah tarian kebudayaan persembahan JKKN. Hati kami terdetik, di manakah daulat Ketua Agama Islam apabila disambut dengan tarian kebudayaan dan sepanjang aturcara sehingga pulang tiada langsung doa dibacakan. Kami berbaik sangka lagi, mungkin kerana berkompromi dengan kira-kira 10-20% tetamu beragama lain.
Di dalam ucapan Dato’ Wira yang juga orang kuat kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah, beliau menyatakan highlight program-program sepanjang tahun yang lalu. Kami mendengar dengan khusyuk. Pastinya dalam program yang singkat, beliau memberikan highlight kepada program yang paling besar sahaja. Antara program yang dinyatakan ialah seperti;
1. Lawatan ke rumah anak yatim
2. Pembelian baju kelengkapan sekolah untuk 200 orang anak yatim
3. Sunat beramai-ramai (50 orang)
Dengan kutipan derma berjumlah RM2.3 JUTA diumumkan pada malam itu, kami sebagai pentadbir Rumah Pengasih Warga Prihatin dengan 109 orang warga berani katakan kesemua program di atas itu sepatutnya tidak menelan belanja lebih dari RM100,000. Jika di”lajak”kan sekalipun mungkin boleh cecah RM500,000 dan ia masih jauh dari kutipan yang diperolehi. Kami tak mahu menyangka-nyangka tentang ini, cukuplah kami tinggalkan satu persoalan di sini.
Dalam ucapan Dato’ Wira, beliau membacakan banyak hadith tentang anak-anak yatim. Antaranya adalah pesanan untuk tidak mengherdik anak yatim. Namun bagi kami, mengherdik itu tidaklah hanya terhad kepada meninggikan suara kepada anak-anak yatim. Apabila hak asas mereka mendapat makanan itu juga dinafikan, kami kira itu lebih dari satu herdikan halal seorang guru kepada muridnya. Kedudukan meja VVIP yatim, Jenis makanan berbeza untuk VVIP yatim, bilik rehat dan makan tengahari yang dijanjikan kesemuanya gambaran MENGHERDIK secara hakikat. Yang paling penting ialah bagaimana mereka mengeksploitasi anak-anak yatim semahunya untuk kepentingan kutipan yang kami tidak pasti untuk apa.
Sejak 8 tahun dengan residen seramai 109 orang, kami di RPWP jalankan usaha dengan cara berpuasa. Semua co-founder mengeluarkan dana dan tenaga sendiri mentadbir rumah ini. Mungkin pada malam itu, sebahagian pegawai Yayasan memandang kami yang MENGIRING ini sama seperti mereka yang mendapat faedah dari kutipan tetapi di sebalik itu mereka mungkin tidak Nampak, Dr Masjuki sendiri bukan bertambah kaya setelah menubuhkan RPWP sebaliknya terus menjadi fakir. Begitu juga co-founder yang lain. Semuanya korbankan harta masing-masing dahulu dan tidak mengharap derma untuk menjalankan program harian kami.
Kami sedar, mereka rupanya tidak cukup atau mungkin tiada anak yatim di bawah naungan mereka. Anak-anak kami diwajibkan memakai badge Yayasan dan dengan itu ucapan Dato’ Wira boleh memberikan highlight kepada Sultanah yang di dalam ballroom pada malam itu ada 66 orang anak-anak yatim. Pengacara Aznil jelas mengatakan Yayasan yang memberikan penempatan untuk anak-anak kami kerana lencana Yayasan itu, atau mungkin diminta berkata begitu.
Jelas kami dah faham. Sebuah yayasan yang sebenarnya tidak / kurang memiliki atau menjaga anak-anak yatim secara sistematik, juga tiada laman web yang aktif dengan facebook yang baru 300 likes membuat makan malam dengan menggunakan Nama Sultanah Kedah (Permaisuri Agong) bagi mengutip derma korporat dan persendirian dengan jumlah yang banyak.
Kami tak mahu melanjutkannya seperti ia satu tuduhan yang pasti, tetapi yang nyata kami hanya di bawa untuk menyanyikan lagu “minta sedekah” dan langsung diletak di hujung dewan TANPA ADA SEORANG PUN pegawai Yayasan yang sudi menjengah meja-meja yang “Kononnya VVIP” itu. Kehadiran anak-anak yatim di hujung dewan hanya satu lesen bagi penganjur mengatakan mereka ada anak yatim dan juga membuka simpati penderma untuk menderma lagi.
Operasi kami memelihara 109 orang anak yatim dan asnaf yang menjadi residen berbeza sekali. Di atas tanah seluas setengah ekar dengan kos pembinaan, makanan berkhasiat, pendidikan dari pakar pendidik. Prasarana asas yang memadai yang kami bina sendiri secara gotong royong lebih dari 8 tahun lalu. Belanja bulanan kami hanya sekitar RM35,000-45,000 sebulan. Bukan mewah tetapi mencukup. Jika dihitung selama 1 tahun, kos operasi kami adalah sekitar RM500,000 sahaja. Semuanya berkat infaq dan hasil perniagaan kecil kecilan yang kami tabungkan kesemuanya.
Kuncinya ialah PUASA. Kami pihak co-founder MELABUR harta dan diri kami, BUKANNYA mengambil sebahagian untung dari pendapatan derma. INILAH JULUNG KALI kami izinkan anak-anak kami turutserta dalam program malam amal setelah bertahun-tahun kami menolak permintaan banyak pihak lain untuk menggunakan Nama kami untuk tujuan ini. Dan apa saja penyelewengan yang kami bimbangkan jelas terjadi pada kali pertama ini juga.
Sila ikuti beberapa klip video sebagai pengesahan berita.
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/23/petikan-perbualan-wakil-yayasan-yang-dikatakan-membawa-titah-tuanku/
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/23/di-sebalik-tabir-suasana-sambutan-ketibaan-dan-keberangkatan-pulang-tuanku-dymm-spb-ydp-agong/
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/22/persembahan-khas-anak-anak-rpwp-di-hadapan-dymm-spbydp-agong-tolong-kami/
http://prihatin.net.my/v3/2013/12/04/rakaman-latihan-nasyid-untuk-persembahan-istana-di-hadapan-dymm-ydp-agong/
No comments:
Post a Comment