farhana mohamad: Hakikat Mengherdik Anak Yatim (2)

Pages

07 January 2014

Hakikat Mengherdik Anak Yatim (2)

-PADA PETANG SEBELUM MAJLIS-

Program rehearsal protokol adat istiadat dan latihan bersama okestra DBKL yang dijanjikan jam 10 pagi ditunda jam 1 ptg. Itupun tertangguh lagi. Lagu “Ampuni kami” yang awalnya diminta Tuanku telah dibatalkan. Lagu itu mungkin terlalu Islamik, mencacatkan majlis kerana mereka belum bersedia untuk beristighfar lagi agaknya. Lagu “Tema Yayasan” bernada tinggi yang telah membuatkan anak-anak demam dan pecah suara turut dibatalkan.

Yang diminta ialah lagu “Minta sedekah”. Itu pun di’trimmed’ menjadi 3++ minit dengan versi mereka, bukan versi yang kami latih anak-anak. Segalanya harus dirombak semula dalam masa beberapa jam itu juga. Janji untuk latihan secara live bersama Okestra juga mendukacitakan. Kami diberi rakaman minus-one yang entah apa-apa. Mereka sibuk melatih Jamal Abdillah, Jaclin Victor dan seorang penyanyi India.

Anak-anak kena jadi pak pacak berdiri memerhati penyanyi Diva berlatih. Hampir jam 7, mereka kata masa dah tak ada. Anak-anak tak perlu berlatih dengan Okestra. Kami kata apa sudah jadi? Lagu diubah senikata, nada dan kunci. Semua 3 lagu yang dilatih dibatalkan semuanya. Akhirnya dapatlah berlatih HANYA 1 KALI bersama okestra. Nak minta tambah mikrofon pun mereka tak beri.

Si Dato’ menjanjikan 3-4 buah bilik yang akan menjadi tempat berehat dan persiapan anak-anak lelaki dan perempuan sebelum persembahan. Makan pagi dan tengahari tak perlu risau katanya kerana ia juga telah disediakan. Dato’ juga dengan yakin menjanjikan meja anak yatim di barisan depan, sebaris meja utama Tuanku Sultan. Anak-anak ini akan diraikan sebagai VVIP dalam majlis itu. Nama majlis itu sendiri adalah untuk meraikan anak-anak yatim kononnya.

Berubah dari janji awal jam 10 am, kami dipanggil jam 12 tengahari untuk mengadakan rehearsal penuh bersama combo DBKL dan mesyuarat protokol pada jam 1 petang. Kami diingatkan untuk tidak lewat agar tidak menjadi masalah kepada Pegawai Protokol Istana sedangkan beberapa kali pegawai protokol dan combo DBKL janji untuk hadir ke RPWP terus senyap begitu saja..!

Sebelum jam 12 tengahari, kami sudah berada di sana. Pada ketika ini, kami terbiar terkontang kanting sendirian apabila Dato’ yang menjadi individu pengatur kami di sana gagal dihubungi. Telefon tidak berangkat, mesej tidak berjawab. Keadaan berterusan sehingga beliau sendiri muncul pada sekitar jam 4 petang. Waktu itu anak-anak sudah kelaparan dan bergelimpangan atas lantai tepi tandas. Anak-anak diberikan satu rakaman dan memaksa mereka ikut rentak baru yang diringkaskan itu, nada dan senikata semua kena ubah semula.

Kami yang hadir awal akhirnya tiada taklimat protokol dan juga tiada rehearsal selain penyelarasan mikrofon sahaja. Dengan Dato’ masih terus gagal dihubungi, 36 orang rombongan yang DIJEMPUT SEBAGAI VVIP ini menjadi gelandangan di tepi tandas lobi bawah berhadapan dengan ballroom yang mewah. Anak-anak sudah mengeluh lapar dan makanan di hotel kesemuanya terlampau mahal untuk kami beli. Bilik yang dijanjikan juga tiada, menyebabkan anak lelaki dan perempuan terpaksa menjadi gelandangan di atas karpet hotel sementara menunggu jam 6 petang untuk waktu rehearsal yang BARU.

Pada mulanya, di luar ballroom itu ada juga beberapa set sofa untuk kami 35 orang menunggu dengan perut yang kelaparan, tetapi sehingga jam 2.30 petang, pihak hotel telah mengalihkan kesemua sofa yang tinggal untuk di bawa ke tempat lain. Barangkali itu cara mereka mengusir kita dari bersidaian di lobi itu dan mencemar pandangan ‘orang-orang tertentu’. Tambahan pula lobi itu menjadi persiapan satu parti sosial remaja yang macam “sial” lucahnya. Anak-anak geleng kepala, bagaimana majlis Ketua Agama Negara dibuat di tempat dan masa yang sama dengan majlis maksiat yang bertelanjangan dan mabuk-mabuk semuanya?

Kami tiada pilihan selain menunggu dengan bersila di atas lantai. Lebih memalukan, di antara 36 orang ini ialah Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Dr. Haji Masjuki Mohd Musuri yang dahulu adalah usahawan yang berjaya. Sekadar Shangri-La bukanlah sebuah hotel yang asing pada beliau. Beliau sendiri memfakirkan kesemua kekayaan dan segala harta yang ada pada beliau termasuk diri beliau sendiri untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin DISOKONG oleh 19 lagi “co-founder” yang lainnya.

Dr. Masjuki masih tenang sambil berbaring di lantai dek kerana kepenatan dalam mempersiapkan anak-anak selama tempoh 3 minggu. Salah seorang dari co-founder mencadangkan kepada beliau untuk balik dan tidak beserta dalam program makan malam yayasan itu. Dr. Masjuki menjawab, ikutkan hati begitulah juga. Tetapi kerana hormat akan Tuanku Sultanah dan prinsip mendaulatkan Sistem Beraja, beliau telan sahaja layanan buruk yang sedang berlaku ketika itu.

Seolah-olah kehadiran kami di sana tidak wujud dan tiada siapa yang kisah sekumpulan 36 orang dari Rumah Pengasih Warga Prihatin ini menjadi gelandangan di situ. Tiada yang prihatin untuk tanya sudah makan ataupun belum. Perut anak-anak sudah berkeroncong. Pengiring dewasa menahan lapar, sedikit bekalan roti dan susu diberi pada anak-anak untuk alas perut. Setelah pasti tiada lunch dari Dato’ penganjur yang tidak nampak muka dari pagi, kami terpaksa menghantar wakil untuk mencari makanan luar. Jam 4 petang, wakil kami pun berjalan lebih 2km untuk mencari makanan yang wajar untuk mengalas perut anak-anak.

Dalam menunggu makanan dibeli, Dato’ dari Yayasan itu tiba-tiba muncul. Tidak ada bahasa lagi kerana kehadiran beliau terus meluru kepada anak-anak untuk dipalau memalu kompang, bukan nak tanya dah makan ke belum? Dah dapat bilik ke belum?. Beliau hanya memeriksa apa yang beliau rasa perlu untuk persembahan malam itu. Tidak pula beliau menemui, jauh sekali meminta maaf terus kepada Dr. Masjuki, seorang OKU yang jelas dilihat terbaring keletihan di lantai penjuru dinding itu.

Jam 5 petang kami diberikan 2 bilik kecil. Sebaik saja kami anak beranak mula makan makanan yang dibeli setelah berjalan merata bandar itu, 5.30 petang baru kami dijemput ‘makan tengahari’. Rehearsal pula akan bermula jam 6 petang. Itu bermakna, tiada rehat langsung. Kami ambil keputusan hanya anak-anak nisak dan ibu-ibu saja turun makan, yang lain cukup alas perut makanan yang telah dibeli.

Jelaslah satu pembuktian dari sangkaan kami bahawa insan ini hanya memikirkan tentang ‘perutnya’ sahaja tanpa mengira akan kebajikan dan perasaan orang lain. Minta maaf diberikan lebih kurang sahaja. Mungkin malu YANG AMAT BESAR lalu mereka berdua tidak berani berhadapan dengan co-founder, sampai kami pulang.

No comments:

Post a Comment

-disclaimer-
Ini adalah blog peribadi. sebarang bentuk artikel, informasi mahupun gambar yang dimiliki oleh pemilik blog ini boleh digunapakai oleh blogger lain tanpa memerlukan kebenaran tetapi mestilah diletakkan pautan kepada blog ini. sebarang printscreen adalah dilarang sama sekali. pemilik blog mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang atas penyalahgunaan pelaku.

Farhana Mohamad Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign