farhana mohamad: patutkah ini semua terjadi..??

27 September 2009

patutkah ini semua terjadi..??

SAYA wanita berusia 24 tahun. Apa yang ingin saya ceritakan ini bukan untuk membuka aib sendiri, sebaliknya menjadi pengajaran bagi gadis lain di luar sana.

Saya sebagai manusia yang ingin mencintai dan dicintai tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Hati saya disapa lelaki bernama A pada usia 19 tahun dan saya menerimanya kerana sikapnya yang tenang serta lemah lembut.

Pada mulanya hubungan kami baik, namun sikap A mula berubah selepas setahun kami bersama. Di sebalik sikapnya yang tenang terselindung ego yang tinggi. Saya sering mengalah dalam apa jua keadaan.

Saya sentiasa yakinkan diri A akan berubah sikap, namun selepas setahun keadaan tetap sama. Saya tetap bersabar kerana sayangkannya hinggalah kesetiaan saya diuji dengan kehadiran lelaki bernama E yang mahu menjadi kekasih saya.

Pada mulanya saya menolak kerana sayangkan A, namun akhirnya saya terima E sebagai kekasih kedua tanpa pengetahuan A. Sikap E yang jauh lebih baik daripada A membuatkan sayang saya terbahagi dua.

Namun kerana terlalu percaya janji manis E, kesucian saya diragutnya tanpa kerelaan saya. Saya menangis sepuas-puasnya kerana rasa bersalah pada keluarga dan A. Bagaimanapun E pandai berkata-kata dan menabur janji manis yang membuatkan saya terpedaya.

Entah apa yang merasuk saya untuk terus menyayangi E. Saya diperlakukannya seperti patung tidak bernyawa dan menjadi tempat E melepaskan nafsu serakahnya. Saya dipukul jika tidak mengikut kehendaknya dan duit simpanan saya habis dikikisnya.

Hidup saya menjadi kucar kacir hingga hilang tumpuan pada kerja dan keluarga. Saya langsung tidak dengar nasihat orang lain supaya meninggalkan E, sebaliknya terus bersabar kerana terlalu sayangkannya. Biarpun E jahat, kebaikannya tetap ada.

Akhirnya saya hamil dan E meninggalkan saya. Saya buntu dan takut. Saya ceritakan segala-galanya kepada A dan berkali-kali saya minta maaf kepadanya. A kecewa, namun dia maafkan saya.

A tidak benarkan saya gugurkan kandungan dan suruh saya dapatkan perlindungan di rumah pemulihan. Selepas bersalin, saya serahkan anak kepada keluarga angkat.

Sukar diceritakan bagaimana sedihnya perasaan saya apabila terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain. Rasa marah dan dendam pada E hanya Tuhan yang tahu.

Selepas itu hubungan saya dan A kembali terjalin. A ambil berat mengenai diri saya, namun egonya tidak luntur. Saya terpaksa bersabar, apatah lagi A berjanji untuk memiliki saya kembali serta tidak mengungkit kisah silam.

Malangnya A berubah sikap. Dia mula meminta saya memuaskan nafsunya. Apabila saya menolak, lain pula jadinya. A menghina dan mengungkit kisah silam saya.

Akhirnya saya ditinggalkan A biarpun berkali-kali saya katakan saya menyayanginya sepenuh hati serta tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Kini hidup saya kembali tertekan. Selain ditinggalkan teman lelaki, kerinduan terhadap anak semakin kerap menghantui diri.

Kini saya benci dan sukar mempercayai lelaki. Apakah tiada kemaafan untuk saya biarpun saya sudah insaf? Adakah lelaki yang sudi menerima saya dengan jujur sebagai isteri?

Adakah wanita seperti saya sekadar layak menjadi pemuas nafsu lelaki? Bagaimana saya nak membina kembali kehidupan saya dalam keadaan serba tertekan ini?

MAWAR

N Sembilan

Membaca kisah penderitaan saudari, Dang Setia terus teringat satu ungkapan yang menyatakan “bahagia hanya mampu dikecapi melalui hati yang tenang dan hati yang tenang pula hanya mampu dimiliki oleh orang yang sentiasa patuh pada Allah SWT.”

Apa relevannya ungkapan ini dengan masalah saudari? Bagi Dang Setia, kaitannya cukup kuat biarpun tersirat. Ini kerana, pada perspektif Dang Setia, saudari dianiaya dan kini menderita kerana mencari atau mengejar kebahagiaan palsu.

Saudari dan mungkin ramai lagi wanita lain menyangka saluran utama untuk mengecap kebahagiaan adalah menerusi hubungan cinta dengan lelaki. Sebab itu kesudahannya ramai yang terpedaya dan menderita.

Sedangkan Allah SWT berpesan kepada kita bahawa cinta kepada manusia dan harta tidak akan membawa kepada kebahagiaan sejati, sebaliknya bahagia yang tercipta hanya seketika.

Malah Allah SWT juga memberitahu, jika kita berasa bahagia hasil kecintaan kepada manusia dan harta, jangan sekali-kali lupa itu sebenarnya ujian untuk menguji keimanan kita.

Berdasarkan hakikat itu, nasihat Dang Setia kepada saudari, berhenti sementara memburu cinta dan kasih sayang daripada insan bernama lelaki, sebaliknya tumpukan usaha untuk memburu cinta, kasih sayang dan keredaan Allah SWT.

Bukan Dang Setia kata cinta daripada lelaki tidak penting buat saudari. Ia penting kerana sememangnya fitrah manusia hidup berpasang-pasangan dan perlukan cinta daripada makhluk berlawanan jantina.

Namun jangan sekali-kali kita mencintai sesama makhluk lebih daripada kita mencintai Allah SWT. Cinta kepada Allah SWT wajib didahulukan dan jika ini kita patuhi, insya-Allah kebahagiaan sejati akan hadir.

Berbekalkan perasaan cinta mendalam terhadap Allah SWT, cinta saudari kepada lelaki juga akan lebih bermakna dan kurang berisiko untuk diperdaya.

Maksud Dang Setia, jika saudari jatuh cinta kepada lelaki bukan kerana rupanya yang kacak atau hartanya yang banyak, sebaliknya kerana ketakwaannya kepada Allah, insya-Allah dia bakal memberi kebahagiaan kepada saudari, bukan saja di dunia tapi juga akhirat.

Kini, saudari berasa diri cukup hina, benci, tidak percayakan lelaki dan curiga masih adakah lelaki sudi memperisterikan saudari.

Nasihat Dang Setia, biarpun seteruk mana perasaan saudari dan biarpun semua manusia lain di dunia tidak menghiraukan saudari, Allah SWT masih ada di sisi saudari.

Dia Maha Pengampun dan Penyayang. Jangan ditanya “apakah tiada kemaafan untuk saya biarpun saya sudah insaf?” Sesungguhnya kemaafan daripada lelaki atau mana-mana manusia lain tidak penting untuk saudari.

Sebaliknya, yang lebih penting ialah taubat dan keampunan daripada Allah SWT.

Sebagai makhluk-Nya yang lemah, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa, namun Allah SWT memberitahu pintu taubat-Nya sentiasa terbuka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Katakanlah, hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-zumar: 53)

Sehubungan itu mulakan langkah membina semula kehidupan saudari dengan bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT. Seterusnya, berusaha mencari ilmu dan perbanyakkan amal ibadat.

Daripada situ, insya-Allah akan terbina iman dan takwa, akan wujud perasaan cinta kepada Allah SWT dan akan tercipta bahagia...

sumber: harian metro...

xleh describe perasaan ana tatkala membce artikel ni... bercampur baur... sedih mngenangkan perangai umat akhir zaman...

nauzubillah...

No comments:

Post a Comment

-disclaimer-
Ini adalah blog peribadi. sebarang bentuk artikel, informasi mahupun gambar yang dimiliki oleh pemilik blog ini boleh digunapakai oleh blogger lain tanpa memerlukan kebenaran tetapi mestilah diletakkan pautan kepada blog ini. sebarang printscreen adalah dilarang sama sekali. pemilik blog mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang atas penyalahgunaan pelaku.

Farhana Mohamad Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign