SERAMAI 17,303 Orang anak luar nikah berbangsa Melayu yang dilaporkan sepanjang tahun 2009. Ini peningkatan yang amat menggerunkan berbanding hanya 16,541 orang pada tahun 2008. Lagi menggerunkan kerana sepanjang lima tahun yang lalu, seramai 74,723 orang anak luar nikah yang terhasil dari benih lelaki dan perempuan Melayu. Itulah statisitk yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah jabatan Pendaftran Negara. Ini sungguh membimbangkan, kata Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak dalam Mingguan Malaysia hari ini(28.3.2010.).
SIAPAKAH yang harus dipersalahkan atau dijadikan sebab atau punca semua ini. Terlalu banyak untuk disenaraikan. Tapi, Kalau kita perhatikan kepada realiti dan kita telitikan fakta dalam Hadis Nabi, ternyata ibu-bapa merupakan salah satu faktor yang mewujudkan masalah ini. Saya ulangi, salah satu faktor dan bukan satu-satunya faktor..
Dalil
“Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)
Hadis ini jelas menerangkan peranan ibu bapa untuk mencorak dan melakarkan kehidupan anak-anak dari aspek kerohanian.
Kata orang, anak-anak itu merupakan bayangan ibu-bapanya. Dan harus diketahui apakah sifat bayang-bayang. Kayu yang bengkok tidak akan sesekali menghasilkan bayang yang lurus. Lumrahnya, kalau ibu bapa itu jauh dari agama, maka anak-anaknya juga akan mencetak watak yang sama. Lazimnya, jika ibu-bapa itu cakna agama, maka anak-anaknya akan menyalin kecaknaan tersebut.
Namun kita kena akur, dalam kes-kes tertentu( yang mungkin jarang berlaku) terdapat peristiwa yang menyanggahi kelaziman dan menyalahi lumrah atau kebiasaan. Ya, menyalahi kelaziman kerana seseorang bapa yang kufur adakalanya ‘menghasilkan’ anak yang beriman seperti kes Nabi Ibrahim a.s. Menyanggahi lumrah dan kebiasaan, apabila terdapat anak yang kufur yang lahir dari zuriat insan yang soleh seperti dalam kes Nabi Nuh a.s. Itu kuasa Allah dan tidak perlu kita pertikaikan. Cuma, di sini saya berbicara tentang perkara yang bersifat lumrah, lazim dan kebiasaan.
Cerita 1
Ada cerita yang ingin saya kongsi. Cerita benar yang benar-benar terjadi. Cerita tentang maksiat yang kini dijadikan hobi oleh sesetengah muda-mudi. Juga cerita tentang ibu bapa yang merestui maksiat ini. Pernah seorang sahabat saya, juga seorang guru menegur pelajarnya yang baru berusia 16 tahun kerana sering berdua-duaan dengan teman lelaki. Bukan setakat berdua-duaan, malah pelajarnya itu, dilihat dan dilaporkan oleh banyak pihak telah pun berbuat serba serbi, di sana-sini dan begitu – begini. Tapi jawapan pelajarnya itu amat menarik untuk direnungi.
Kata pelajar tersebut, “Cikgu, walaupun mak saya hanya bersekolah sampai tingkatan dua, tapi mak saya sangat matang. Dia tak pernah halang saya bergaul dengan mana-mana jantan. Apa hak cikgu nak campuri urusan saya kat luar sekolah. Mak saya yang berusah payah mengandungkan saya pun tak bising-bising. Ni , cikgu yang takde kena mengena pulak nak bising” Dan daripada sumber yang didapati, mak gadis tersebut sememangnya baik hati, bukan setakat tidak menghalang anaknya di bawa keluar malam-malam oleh jantan, malah turut membenarkan jantan tersebut( yang merupakan teman lelaki anaknya itu) bermalam di rumahnya.
Cerita 2
Peristiwa gila yang kedua pula berlaku di sebuah sekolah(saya rahsiakan nama sekolahnya demi kebaikan semua pihak). Ibu dan bapa kepada seorang pelajar tingkatan satu telah dipanggil untuk dimaklumkan yang anaknya sudah bertaraf ‘kelapa ditebuk tupai’. Maka berkatalah si bapa yang gila itu “ Cikgu, saya dah lama tahu semua tu. Kalau cikgu nak tahu, kakak dia lagi teruk. Saya tak kisah cikgu, yang penting dia tak bunting.” Masya-Allah, inilah penyakit gila yang melanda segelintir ibu-bapa. Kepada rakan-rakan guru, jangan sesekali alpa, tugas kita hanyalah di sekolah. Kalau pelajar kita merompak atau membunuh, itu tugas polis untuk menyelesaikan. Kalau pelajar kita bersekedudukan, itu tugas pencegah maksiat. Tolong jangan masuk campur, nanti anda akan ‘ditembak’ oleh mak-bapak dan masyarakat.
Salah Siapa??
SEJUJURNYA! NAK salahkan ibu bapa seratus peratus pun tak boleh juga. Banyak juga faktor lain yang perlu diambil kira. Pernah dahulu, seorang artis wanita mengatakan para artis tidak boleh dijadikan ikon atau idola masyarakat. Maka melentinglah sesegelintir artis. Tetapi masyarakat tidak buta dan pekak dengan realiti semasa. Berpeluk-pelukan dah jadi ‘sunnah’ para artis. Lagi gila ‘sunnah’ ini direstui oleh media sebagai lumrah dan kebiasaan pasangan yang bercinta.
Pelik tapi realiti...
Artis /penyanyi lelaki yang langsung tak popular telah mencium pipi artis wanita yang masih lagi bergetah, atas alasan menganggapnya sebagai ciuman mesra dari seorang anak kepada ibu angkatnya. Lepas tu, artis perempuan yang baru nak mencipta nama berpelukan mesra dengan teman lelakinya ketika berbaris membeli tiket di sebuah pawagam. Bila ditanya, maka inilah jawapannya “ secara jujurnya saya juga ingin dibelai mesra seperti insan lain yang bercinta.”
Ada juga kes artis perempuan yang langsung tak dikenali, begitu asyik bermesra dengan seekor anjing. Lepas tu bila ditanya oleh wartawan, maka dengan bangganya dia mempertahankan perbuatannya. Meskipun isu anjing/ termasuklah babi masih khilaf antara ulama, namun dalam konteks Malaysia, amat tidak sesuai untuk bermesra dengan anjing. Dalam pancaindera hari ini pulak tentang seorang artis perempuan yang amat berbangga dengan darah Arabnya suatu ketika dahulu, telah bergambar hampir separuh bogel. Namun, berdasarkan jawapannya kepada wartawan, ternyata dia tak rasa bersalah malah berbangga dengan tindakannya itu. Lagi menghairankan, tidak bolehkah digubal satu enakmen untuk mendakwa artis yang tak bemoral ini ke mahkamah syariah atas alasan menghina agama apabila berkelakuan gila macam kera ini.
Zina berleluasa...
Kes penzinaan dan seterusnya melahirkan anak luar nikah juga tidak hanya berlaku dalam kalangan budak2 hingusan, malah golongan dewasa pun tidak terkecuali. Tidak salah rasanya, faktor kesukaran untuk mendirikan rumah tangga turut menjadi punca penzinaan. Jujur! hari ini terlalu sukar untuk berkahwin tetapi terlalu mudah untuk berzina. Semua pihak kena akui, hari ini pintu untuk pernikahan seolah-olah tertutup rapat tetapi pintu untuk perzinaan seakan-akan terbuka luas.
Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’
Kisah dari lelaki...
Dua hari yang lepas, ketika sedang minum di sebuah warung, pelbagai topik kami perkatakan. Dari topik politik yang kian menggila hinggalah ke topik kesukaran mendirikan rumah tangga. Seorang rakan saya yang agak berusia berkata “Kalau takde RM10 ribu sebagai wang hantaran, jangan harap nak pinang anak dara orang. Kalau takde RM30 ribu jangan mimpi nak nikah.” Seorang rakan yang masih muda, berusia 22 tahun bertanya sambil melawak “ Kalau RM 5 ribu tak cukup ke sebagai wang hantaran.” Lalu seorang lagi rakan saya yang berasal dari kuala kangsar dan pernah berkhidmat di perkampungan orang asli Lasah Sungai Siput menjawab, “ Kalau setakat RM5 ribu tu, nak pinang anak orang asli pun tak layak. Nanti orang asli akan jawab, Aku jual tupai dan kera pun dah lebih dari RM5 ribu sebulan.”
Lalu dinyatakan tentang perbelanjaan yang perlu agar walimah itu dianggap bermaruah dan dikagumi para hadirin. Antaranya, kelengkapan untuk persandingan mestilah hebat dan gah, Kugiran yang diundang pula mestilah boleh menyampaikan lagu dan bermain alat muzik dengan baik, kad undangan juga mestilah cantik dan kalau boleh mesti ada keunikkan yang tersendiri hinggakan dikenang oleh orang yang bertandang. Pendek kata, kena ada paling kurang RM30 ribu kalau nak kahwin.
Dalam asyik bersembang, saya terkenangkan kata-kata Datuk Seri (skrg Tan Seri) Harussani yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 18.7.2003. Katanya “ Hantaran perkahwinan yang tinggi adalah punca ramai lelaki sukar kahwin.”
Fikirkanlah...
Cuba sahabat bayangkan. Pasangan muda yang baru bekerja( paling awal pun berusia 23 atau 24 tahun, kerana itu usianya bagi yang baru menamatkan pengajian di IPT. Dan itupun kalau terus dapat kerja kerana lumrahnya terpaksa menganggur terlebih dahulu) di manakah dia nak mencari wang sebegitu banyak. Bank Rakyatkan ada, mungkin itu jawapannya. Tapi jangan lupa dgn bayaran PTPTN, bayaran ansuran kereta dan macam2 lagi. Kalau pasangan yang lemah iman tetapi perkasa nafsu, pasti sahaja mereka terjerumus ke kancah penzinaan. Berzina kerana terpaksa lantaran perkahwinan yang sudah bersifat urus niaga. Perkahwinan yang diwajibkan “berjenama” dan mesti dikenang selagi hayat bersisa telah mengundang sengsara kepada pasangan muda. Maka berzinalah jawapannya. Berzina juga semakin mudah kerana pil perancang dan kondom ada dijual merata-rata dan di mana-mana.
Nukilan dari Shameel Iskandar
http://bicaradariaku.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment