Ibn Batuttah gambarkan Baitullah gemerlapan, penduduk beribadat sepanjang malam
PENGEMBARA agung Islam, Ibn Battutah banyak mengungkap mengenai kehidupan, budaya dan tempat menarik sepanjang 29 tahun mengembara bermula dari tanah kelahirannya di Tangiers, Maghribi pada 1325 (700 Hijrah) meliputi Afrika Utara, Semenanjung Arab, Balkan, Parsi, India, Kepulauan Melayu dan China. Ibn Battutah tidak melepaskan peluang untuk memberi gambaran sambutan Ramadan di kalangan penduduk Makkah ketika kunjungan ke Kota Suci itu. Berikut ialah catatan Ibn Batuttah, lebih 700 tahun lalu yang dipetik daripada buku Pengembaraan Ibnu Battutah (Rihlah Ibn Battutah).
Apabila anak bulan Ramadan muncul, gendang serta kompang dipalu di rumah Amir Makkah dan suatu persediaan hebat dibuat di Masjidil Haram. Hamparan diganti baru, lilin dan obor ditambah sehingga Baitullah bergemerlapan cahaya, berseri-seri dan gilang-gemilang.
Imam berpecah kepada beberapa kumpulan dan setiap seorang bersama pengikut mazhab masing-masing iaitu Syafie, Hambali, Hanafi dan Zaidiyyah. Pengikut Mazhab Maliki pula mengumpulkan empat qari yang bergilir-gilir membaca al-Quran dan menyalakan lilin. Tiada satu ruang atau sudut pun di Masjidil Haram tidak diduduki qari yang mendirikan solat bersama-sama jemaahnya. Bergemalah masjid dengan suara qari dan setiap jiwa menjadi lembut, hati menjadi khusyuk dan air mata pula jatuh berguguran.
Selain itu, ada juga antara penduduk Makkah yang hanya menunaikan tawaf dan solat di Hijr secara bersendirian. Imam Mazhab Syafie adalah paling tekun beribadah. Apabila selesai solat Tarawih 20 rakaat, imam mereka biasanya melakukan tawaf mengelilingi Kaabah bersama jemaahnya. Apabila selesai membuat tujuh pusingan tawaf, farqa'ah (sebatang kayu yang dililit dengan kulit binatang yang nipis di hujungnya) yang dibawa di hadapan khatib pada Jumaat seperti yang diceritakan sebelum ini, dipalu sebagai pengumuman supaya setiap orang kembali menunaikan solat.
Kemudian imam mendirikan solat dua rakaat dan sesudahnya pula, menunaikan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Beginilah keadaannya sehingga beliau menyempurnakan 20 rakaat yang lain bersama-sama jemaahnya. Kemudian mereka mendirikan pula solat syaf (genap) dan witr lalu bersurai. Imam yang lain pula tidak membuat sebarang penambahan kepada adat yang biasa diamalkan ketika menunaikan solat.
Apabila tiba waktu sahur, Mu'azzin Zamzami akan menjalankan tanggungjawab untuk mengumumkan waktunya dari menara yang terletak di timur Masjidil Haram. Beliau akan berdoa, memberikan peringatan dan galakan kepada orang ramai supaya bersahur. Ini dituruti oleh semua mu'azzin di menara yang lain. Apabila seorang daripada mereka bersuara, sahabatnya akan menjawab. Di puncak setiap menara pula ada sekeping papan yang di hujungnya diletakkan sebatang kayu secara melintang. Dua lentera (lampu) besar yang dinyalakan dan diperbuat daripada kaca digantungkan pada kayu ini. Apabila waktu fajar semakin hampir dan peringatan supaya berhenti makan diberikan dari semasa ke semasa, kedua-dua lentera tersebut diturunkan. Mu'azzin pula mula melaungkan azan dan ia tingkah-meningkah antara satu sama lain.
Bumbung rumah di Makkah, semoga Allah memuliakannya, setara dan mendatar. Oleh itu, sesiapa yang rumahnya jauh sehingga tidak dapat mendengar azan akan dapat melihat kedua-dua lentera itu dan bersahur. Apabila tidak lagi dapat melihat kedua-dua lentera, ia akan berhenti makan.
Pada 10 malam ganjil (witr) yang terakhir Ramadan, penduduk Makkah akan mengkhatamkan bacaan al-Quran. Kadi, fuqaha dan pembesar turut menghadiri majlis berkhatam ini. Orang yang membaca bahagian yang terakhir al-Quran ialah anak kepada seorang pembesar Makkah. Apabila ia selesai mengkhatamkan bacaan al-Quran, sebuah mimbar yang dihiasi sutera dibawa untuknya dan lilin pun dinyalakan. Kemudian ia menyampaikan khutbah. Apabila selesai khutbah, bapanya akan menjemput orang ramai datang ke rumah dan menjamu mereka dengan makanan yang banyak serta pelbagai kuih-muih.
Begitulah amalan penduduk Makkah pada setiap malam witr. Bagaimanapun, malam yang paling mulia di sisi mereka ialah malam ke-27. Sambutan mereka untuk malam ini adalah lebih hebat daripada sambutan yang dibuat terhadap malam yang lain. Pada malam ini, al-Quran dikhatamkan di belakang Maqam Nabi Ibrahim. Bertentang dengan Hatim Mazhab Syafie, sebuah pentas didirikan. Pentas ini diperbuat daripada alang kayu yang bersambung dengan Hatim itu. Di antara kedua-duanya pula dilintang papan yang panjang. Pentas ini dibina sebanyak tiga tingkat dan di puncaknya diletakkan lilin serta lentera kaca. Sinaran cahaya menyilaukan mata memandang. Kemudian imam datang dan menunaikan solat Isyak. Kemudian beliau mula membaca surah al-Qadr. Imam pada malam sebelumnya akan menghentikan bacaan sebelum Surah al-Qadr.
Semua imam berhenti menunaikan solat Tarawih untuk memberikan penghormatan kepada majlis berkhatam al-Quran di Maqam Nabi Ibrahim dan mereka sendiri datang menghadiri majlis berkhatam al-Quran ini untuk mengambil berkat. Imam menamatkan bacaan dengan membaca surah terakhir dalam dua salam iaitu empat rakaat. Kemudian beliau akan bangun berkhutbah dengan menghadap Maqam. Selesai berkhutbah, imam akan mendirikan solat semula dan orang ramai pun bersurai. Majlis berkhatam al-Quran pada malam yang ke-29 pula diadakan di Maqam Mazhab Maliki. Sepanjang malam itu, khutbah akan disampaikan dan tiada upacara kemegahan lain yang diadakan selainnya.
Dipetik daripada buku Pengembaraan Ibn Batttutah, karya terjemahan IKIM, terbitan MPH Group Printing (M) Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment