PERKARA yang boleh menghilangkan pahala puasa seseorang boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu Hissiyyah (jelas dan diketahui umum) dan Maknawiyyah (tidak disedari). Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Lima perkara yang merosakkan pahala puasa seseorang".
# Menipu - ia satu daripada sifat orang munafik. Nabi SAW ditanya adakah wajar bagi seorang dikatakan pengecut? Jawab Nabi SAW: Ya. Adakah wajar dikatakan kedekut? Jawab Nabi SAW: Ya. Adakah wajar dikatakan penipu? Maka Nabi SAW menjawab: Tidak.
# Mengumpat - iaitu menyebut keburukan seseorang pada waktu ketiadaannya. Bagi mereka yang bersama-sama di dalam majlis itu juga dikira dosa. Firman Allah SWT kepada yang menyebut keburukan orang lain bermaksud: "Sanggupkah kamu memakan daging saudaramu sendiri (Al-hujurat: 12).
# Saksi palsu - Ia boleh mengubah yang benar menjadi salah, begitu juga sebaliknya .Tatkala Nabi SAW ditanya mengenai sebesar-besar dosa di sisi Allah SWT. Nabi menjawab: Syirik (menyengutu Allah), derhaka kepada kedua orang tua. Ketika itu Nabi SAW berbaring lalu bangun dan berkata: "Berhati-hati dengan saksi palsu". Sehingga sahabat yang bertanya berkata:
#
" Alangkah baiknya jika kami tidak bertanya".
# Sumpah dusta - Iaitu bersumpah dengan nama Allah SWT sedangkan dia mengetahui itu adalah dusta semata-mata. Sumpah inilah yang menggoncangkan Arash Allah SWT. Sumpah dusta akan menghancurkan rumah tangga, harta benda dan keturunan (Maksud hadis). Nabi SAW menceritakan bahawa Nabi Isa AS melihat seorang lelaki mencuri lalu bertanya kepadanya: "Kenapa kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: "Demi Allah aku tidak mencuri". Apabila Isa AS mendengar lelaki tadi bersumpah dengan nama Allah, maka nabi Isa AS menjawab: "Kamu di pihak yang benar dan sesungguhnya mataku yang berdusta (Demi mengagungkan nama Allah).
Malik bin Dinar (seorang Wali Allah) ketika berjalan di kota Baghdad, beliau melihat seorang pemuda mabuk menyebut nama Allah SWT. Malik berkata: "Adakah wajar kalimah Allah SWT keluar dari mulut seorang yang mabuk? Lalu diambil secebuk air dan membasuh mulut lelaki itu. Ketika tidur beliau mendengar ucapan berbunyi: "Wahai Malik, kamu sudah membersihkan mulutnya kerana kami lalu kami bersihkan hatinya kerana mu. Ketika beliau memasuki sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh, maka terpandang seorang lelaki sedang menangis. Apabila didekati itulah lelaki yang mabuk semalam. Malik bertanya: "Apakah gerangan kamu wahai saudara? Jawab lelaki itu: "Sesungguhnya yang memberi hidayah kepadaku sudah memberitahu mu mengenai aku semalam. Allahuakbar.
# Melihat perkara yang diharamkan juga akan menghilangkan pahala puasa. Firman Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi. "Pandangan adalah panahan beracun daripada pandangan iblis, sesiapa yang meninggalkannya kerana-Ku, akan Ku-gantikan padanya kemanisan iman di dalam hatinya. Sabda Nabi SAW kepada Saidina Ali: "Wahai Ali, tidaklah berlaku dua pandangan di mana pandangan pertama adalah untukmu dan pandangan yang kedua akan disoal oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment